Monday, February 17, 2014

KERAJAAN GAGAL SELESAIKAN MASALAH KEDIAMAN GOLONGAN MUDA DI NEGARA INI.

Di mana silapnya dasar perumahan negara hingga harga rumah melambung tinggi?

Saya mengaku tidak tahu sangat pasal pasaran hartanah dan perumahan. Tetapi tidaklah hingga kita tidak tahu langsung mengira dan mencongak trend pasaran harta.

Harga hartanah di sekitar lembah Kelang dan greater Lembah Kelang tidak mampu lagi untuk dimiliki oleh golongan muda dan graduan yang baru 5 atau 6 tahun bekerja, melainkan mereka mendapat "rezeki terpijak" seperti mendapat projek besar atau terkena loteri, 4D, 5D atau 6D. Ringkasnya MKT, bukan Majlis Kerja Tertinggi UMNO, tapi Magnum, Kuda dan Toto.

Kakitangan kerajaan gred 48/52/54 layak membuat pinjaman perumahan hingga RM450k. Untuk mencapai gred ini sekurang-kurangnya seseorang graduan terpaksa melalui 10 tahun perkhidmatan. Jangkaan umur ketika itu sekurang-kurangnya 35 tahun.

Gred di bawah dari garis ini kalau tak silap hanya layak meminjam RM250k.

Harga pasaran hartanah bagi harga rumah teres 2 tingkat (intermediate), 20 x 70 di Bangi, Seremban 2 dan Nilai serta kawasan yang sewaktu dengannya sudah mencecah lebih RM400K. Rumah end lot dan corner lot sudah menjangkau antara RM600k ke RM1 juta. Semi-D pula jangan harap nak dapat di bawah RM 1 juta.

Dari angka-angka dan nilai ini, jika dibandingkan dengan pendapatan gabungan suami-isteri yang baru 5 tahun bekerja, atau salah seorang dari mereka bekerja di sektor awam, mereka hanya paling tinggi mampu memiliki rumah teres intermediate 20 x 70, jika mereka mahu membeli di kawasan yang sewaktu tadi. Itulah kelayakan yang mereka terima berdasarkan gred jawatan yang dipegang.

Pilihan lain, kakitangan awam ini meminjam dari bank dengan menggabungkan pendapatan mereka suami-isteri.

Dasar dan inisiaif rumah 1MDB, perumahan SPNB, diskaun pembeli muda RM30k, rumah transit dan pelbagai lagi inisiatif yang ditawarkan kerajaan menjadi "obsolete" sekelip mata sebaik sahaja ianya diumumkan akibat dari kenaikan harga rumah yang terlalu pantas. 

1. Mungkin kerajaan perlu memintas kenaikan harga melambung dan pantas ini dengan meminda dan mengubah dasar atau inisiatif setiap 3 bukan sekali bagi menyesuaikan inisiatif tersebut dengan kenaikan harga secara bebas yang seolah-olah tidak dapat dikawal langsung.

2. Mungkin gaji kakitangan awam dan swasta juga perlu dinaikkan setiap 3 bulan sekali bagi menyerap kenaikan harga hartanah disebabkan selera tanpa kawalan para pemaju dan spekulator yang menaikkan harga sesuka hati.

3. Pilihan lain, golongan ini kenalah membeli rumah 150km lebih jaraknya dari dari tempat kerja seperti di Kuala Pilah, Kuala Lipis, Maran, Sabak Bernam, Slim River dan yang sewaktu dengannya, jika mereka bekerja di Lembah Kelang atau Greater Lembah Kelang.

4. Pilihan lain lagi, mereka bolehlah menyewa sahaja rumah berhampiran tempat kerja seumur hidup mereka, dan jika mahu juga memiliki rumah bolehlah membuat rumah di tanah pusaka ibubapa mereka di kampung.

5. Pilihan terakhir yang ada kepada pembeli generasi muda ialah mempersiapkan rumah kediaman yang kekal abadi di akhirat.

Kerajaan tidak merawat di mana punca sebenar kepada masalah kenaikan melambung pasaran hartanah. 

Kerajaan lebih cenderung untuk memahami masalah pemaju dan para spekulator daripada cenderung untuk memahami masalah rakyat dan pembeli genuine. 

Kerajaan terus akur dengan alasan pemaju "kenaikan bahan mentah dan kos pembinaan" telah menyebabkan harga rumah terpaksa dinaikkan. Kawalan harga siling sesuatu kawasan perumahan atau sesuatu jenis rumah yang dimajukan tidak ada langsung.

Kerajaanlah sebenarnya yang menjadi penyumbang terbesar kepada kenaikan sesuka hati harga rumah ini kerana membuka ruang terlalu besar kepada pembeli dan pemilikan asing pasaran hartanah negara demi tergila-gilakan "angka" dana pelaburan langsung dari luar. 

Pemaju hanya mengambil peluang dan kesempatan untuk mengaut untung berlipat ganda dari kantung pembeli asing hasil dari dasar pemilikan asing yang longgar oleh pihak kerajaan ini. 

Akhirnya rakyat tempatan dan pembeli muda yang kurang kemampuan menerima tempias kenaikan harga terlampau ini. Pelabur asing, berapa harga yang ditawarkan pun, wang bukan masalah bagi mereka.

No comments:

Post a Comment